Tajuk pada hari tersebut ialah Media Pengajaran.Ia telah disampaikan oleh Puan Rosnah binti Ahmad Zain. Beliau banyak mendedahkan ilmu pengetahuan baru kepada kami. Sebelum ini, saya hanya tahu menggunakan komputer atau laptop untuk tujuan pembelajaran. Dengan mempelajari subjek ini, banyak ilmu baru yang saya perolehi.
Selain itu,saya dapat mengetahui pelbagai maksud media pengajaran dari beberapa orang tokoh terkenal. Ianya mempunyai maksud berbeza mengikut perspektif masing-masing. Selain itu, saya juga dapat mengetahui bahawa kita perlu mengetahui faktor-faktor yang perlu diambil dalam memilih media pengajaran. Hal ini kerana, kita perlu merancang sesuatu dengan mengambil kira dari segala aspek supaya perancangan yang dibina dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi kesan positif kepada murid.
Saya juga dapat mengetahui bahawa banyak fungsi media pengajaran yang akan diperoleh. Antaranya ialah menjadikan pengajaran lebih tersusun, memberi maklumat, menjadikan pembelajaran menjadi lebih dekat, memperkayakan pengalaman, pembelajaran lebih seronok dan pengajaran lebih bersifat individu.
Kesimpulannya, tajuk ini telah memberi input tambahan dan banyak ilmu baru yang saya perolehi untuk merancang pengajaran yang bersesuaian dengan persekitaran persekolahan kanak-kanak sekarang.
Media Pengajaran adalah segala sesuatu yang dapat digunakan untuk menyalurkan pesanan daripada pengirim kepada penerima sehingga dapat merangsang fikiran, perasaan, minat serta perhatian pelajar dan seterusnya terjadi proses pembelajaran.
Perbezaan antara Media Pengajaran dengan Alat Bantu Mengajar:
Media pengajaran sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya yang berfungsi dalam pelaksanaan sesuatu pengajaran manakala Alat Bantu Mengajar ialah segala kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di dalam kelas. Peralatan mengajar bukan terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran yang melibatkan semua pancaindera melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid.
Fungsi Media Pengajaran :
Fungsi media ialah untuk memperolehi, memproses atau menyusun kembali maklumat pandang dan dengar ataupun gabungan dua jenis maklumat ini.
1) Menjadikan pengajaran lebih tersusun
Mengikut pendekatan sistem, media adalah satu komponen dalam pembentukan pengajaran. Untuk memuatkan media dalam pengajaran, pengajaran guru perlu dirancangkan dengan sistematik terlebih dahulu supaya pengajaran lebih tersusun. Berdasarkan pendekatan sistem juga peranan media dikaji, dilaksanakan, dinilai dan kemudian dibaiki mengikut keperluan penuntut dan objektif pembelajaran.
2) Memberi maklumat
Berbagai media yang didapati,dari segi pembelajaran memang memberi maklumat seperti TV pendidikan dan radio, filem, slaid dan sebagainya.
3) Pembelajaran Menjadi Lebih Dekat
Sesuatu perkara yang perlu dipelajari tetapi berlaku di luar bilik darjah boleh dirakamkan melalui gambar foto, video atau ditulis ceritanya di dalam buku dan kemudian dibawa ke bilik darjah. Perkara-perkara di luar bilik darjah menjadi lebih hampir kepada murid kerana perkara-perkara tersebut boleh dipindahkan di dalam media dan dibawa masuk ke kelas.
4) Memperkayakan pengalaman
Media seperti filem boleh memperkayakan pengalaman murid. Jika murid di negara ini tidak pernah melihat salji, satu filem yang ditayangkan menunjukkan salji serta persekitarannya akan menambah pengalaman murid, seolah-olah murid sendiri mengalami persekitaran seperti itu.
5) Pembelajaran Lebih Seronok
Pembelajaran berlaku apabila terdapat perubahan tingkahlaku. Dengan melihat filem, televisyen dan media lain pelajar akan terangsang untuk belajar. Ini akan menerbitkan rasa seronak kepada pelajar kerana persekitaran bilik darjah adalah steril. Oleh kerana seronok melihat atau mendengar media pengajaran tersebut, perubahan tingkahlaku murid akan lebih mudah terhasil dan seterusnya pembelajaran berlaku.
6) Pengajaran Lebih Bersifat Individu
Jika pengajaran guru dirancang dengan teratur dan rapi, guru tidak perlu berhadapan dengan semua murid pada setiap masa. Guru boleh menggunakan berbagai media untuk menyusun pengajaran dan semua murid tidak perlu menguasai pembelajaran mengikut satu cara sahaja. Pengajaran boleh dijalankan secara individu mengikut kebolehan dan kecepatan pelajar sendiri untuk menyelesaikan sesuatu unit pembelajaran. Murid tidak perlu menanti guru untuk belajar kerana isi pelajaran telah disusun oleh guru mengikut tahap kebolehan murid.
Pengkelasan Teknologi Pengajaran:
1) Media Tayang Kaku
- Transparensi, slaid dan mikrofilem
2) Media Tayang Bergerak
- Pita video, cakera padat digital dan filem
3) Bahan Grafik
- Lukisan, poster, kartun, carta dan graf
4) Gambar Kaku
- Gambar foto, kad imbasan, poskad
5) Bahan Pameran 3D
- Model, boneka, diorama, pupet
6) Papan Pameran
- Papan kapur, papan putih, papan flanel, papan buletin
7) Media Audio
- Pita kaset, cakera padat, komputer
8) Media Cetak
- Modul, buku teks, surat khabar, majalah, risalah
Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan di dalam memilih media pengajaran :
1) Objektif
- Hubungan media pengajaran dengan objektif,
sifat fizikal media.
2) Pelajar
- Ciri-ciri umum, keperluan khusus, stail pembelajaran.
3) Kaedah
- Pengajaran beramai-ramai, pengajaran kendiri,
pembelajaran berkumpulan.
4) Praktikal
- Mudah diperolehi, mudah digunakan, kos dan masa,
kelulusan dan kebenaran.
Langkah penyediaan bahan media pengajaran:
1) Cetusan idea
2) Nyatakan objektif
3) Analisis pelajar
4) Kumpul dan susun bahan
5) Tukarkan idea kepada visual
6) Rancangkan penglibatan pelajar
7) Semak perancangan anda
8) Penerbitan